Pencapai Kecemerlangan SPM 

Ke mana Hala Tuju kita?

Buat tatapan anak didikku sekelian yang boleh dicontohi dan diambil iktibar, betapa perjuangan pembelajaran perlu bersandarkan kepada agama dan petunjuk Ilahi , moga di teladani agar kita tidak tersasar di dalam arus gojakan duniawi semata-mata.

Tahniah kepada adik Nik Nur Madihah atas kejayaannya menempa sejarah pendidikan negara dengan pencapaian 20 A. 19 1A, dan 1 2A. Bagi individu berlatarbelakangkan agama seperti saya, kejayaan ini lebih manis apabila datang dari seorang muslimah yang sempurna penutupan aurat dan bersekolah agama. Lebih manis lagi apabila ia lahir dari sebuah keluarga yang tidak berada dari sudut kebendaan, tidak pula dilimpahi kemudahan-kemudahan tambahan seperti tuisyen dan lainnya.
Inilah yang dinamakan dakwah bil hal, iaitu satu bentuk teladan dan ajakan kepada kebaikan melalui pencapaian dan teladan hasil kejayaan dan perlakuan diri, bukan melalui percakapan atau tulisan. Benar, hampir seluruh Malaysia menumpu kepada beliau, dan tabiat manusia khususnya orang Malaysia adalah ingin mengetahui ‘rahsia' kejayaannya. Lebih biasa kita dengar adalah cuba mendapatkan jalan pendek kepada kejayaan yang sama. Kasihan juga memikirkan minda sebahagian muslim yang inginkan kejayaan tetapi melalui rahsia tertentu, ayat Al-Quran tertentu, doa khusus dengan ‘power' tertentu dan lainnya, dengan harapan semua itu akan memberi satu kuasa luar biasa walaupun tanpa susah payah usaha, mereka cuba mengelak dari jalan sukar dan panjang. Ia adalah satu minda yang songsang kerana semua kejayaan melalui jalan pendek adalah tiada kukuh asasnya atau HAMPIR SEMUANYA diperolehi dengan jalan duniawi.
Apa yang lebih menarik pihak media massa dalam kisah adik Nik Madihah, bukan sekadar kejayaannya tetapi juga ketabahannya mengharungi pembelajaran dalam suasana serba kekurangan harta benda yang kerap dijadikan ukuran kebolehjayaan seseorang. Jelas, limpahan kebendaan bukanlah satu kewajiban untuk mencatat kejayaan cemerlang.
madihah1.jpg

IBADAH DAN KEJAYAAN
Kenyataan Nik Nur Madihah yang berterus terang berkenaan kebiasaannya berpuasa Isnin Khamis turut memberikan impak positif kepada ibadah puasa yang adakalanya dilihat serong oleh manusia bertuhan aqal (mereka adalah kumpulan sekular), yang sering mendakwa puasa boleh membantutkan prestasi pelajaran dan kerja kerana keletihan dan tidak bermaya.
Tudung labuhnya tidak menutup mindanya dari cerdas sebagaimana anggapan dan tuduhan sebahagian wanita moden yang amat membenci pakaian Islam ini. Bibirnya tidak perlukan warnaan merah lipstick, matanya tidak perlukan eyeshadow warna abdomen langau yang kehijauan dan pipinya tidak perlukan blusher merah agar dilihat bijak. Semuanya natural. Beliau juga tidak perlukan skirt pendek bagi menampaknya kecekapan mindanya.
Mujurlah adik Nik tidak memaklumkan berkenaan ibadah solat malam dan tahajjudnya. Jika tidak tentunya bekas pemimpin dan pemimpin yang pernah ‘membantai' solat malam dengan hujjah ia memundurkan prestasi pelajar akan seolah-olah ditampar kiri kanan serta terkena jurus ‘flying kick' di perut.


madihah2.jpg


CABARAN MENGEKAL KEJAYAAN
Erti kejayaan amat luas dan subjektif, sebagai umat Islam kita wajib melihatnya dari perspektif keagamaan terlebih dahulu sebelum tenggelam dengan takrifan dan definisi kejayaan dari kacamata kebendaan. 
Apapun saya ingin merakamkan tahniah kepada adik Nik Nur Madihah dan para pelajar lain yang berjaya menempa kecemerlangan dalam peperiksaan SPM mereka.
Namun beringat-ingatlah, pengalaman saya mengambil SPM di awal tahun 1990 an, dan melihat kejayaan mereka yang cemerlang dalam peperiksaan SPM memperlihatkan satu gambaran dan analisa yang berbeza-beza.
Tidak sedikit pelajar yang menyapu bersih 1A dalam semua atau majoriti matapelajaran tetapi tewas dan jatuh terjelepok semasa kehidupan di universiti. Puncanya sangat pelbagai namun asasnya adalah akibat lemah jatidiri hingga ‘cair' dengan alam universiti yang lebih bebas berbanding sekolah. Satu alam yang menguji proses kebijaksanaan seseorang dalam menentukan hala tuju kehidupan dan ujian membuat banyak keputusan. Ramai juga yang gagal, lalu kejayaan SPM mereka hanya tinggal sebagai satu kenangan manis. Selepas keluar dari univeristi mereka bukan lagi individu teladan dan kebanggaan agama dan negara, mereka hanya orang biasa, malah mungkin duduk pun sebaris dengan individu yang gagal di dalam SPM mereka.
Tanpa mengira lokasi universiti, sama ada di dalam atau luar negeri, pokok pangkal kelangsungan kejayaan adalah terletak pada hati dan diri sendiri. Ramai yang berbangga apabila dapat melanjutkan pelajaran ijazah pertama ke luar negara, namun pulangnya tidak seperti manusia. Rambut kusut masai lagak penyanyi rock, pakaiannya berkiblatkan barat, hati dan minda menggengam erat ideologi barat, percampuran bebas dianggap bertamadun, duduk serumah lelaki dan perempuan bujang dianggap 'bagus' serta jimat. Bukan semua berambut panjang salah, memang benar ia terletak kepada niat dan pelbagai faktor lain (antaranya jimat budjet) namun point yang ingin saya tegaskan di sini adalah terdapat ramai yang penampilan luarannya sengaja diniat menyamai barat hasil kekagumannya kepada negara itu.
Lebih malang, dara dan terunanya sudah lama mengucapkan selamat tinggal. Akibat kelemasan dengan cara hidup masyarakat Barat, dirasakan cara hidup ini sebagai mulia dan terkehadapan. Kasihan melihat pelajar-pelajar cemerlang SPM seperti ini, mereka dibiayai oleh kerajaan Malaysia hasil wang masyarakat Malaysia atas kejayaan aqal mereka, namun rupanya aqal mereka HANYA BIJAK MENJAWAB SOALAN PEPERIKSAAN, tetapi tidak bijak menangani persoalan kehidupan realiti, tidak bijak membuat keputusan mungkin kerana tiadanya ‘silibus khusus yang dibocorkan oleh guru'. Kegagalan ini adalah hasil dari hati yang gersang dan kering dari panduan Ilahi.

MINDA ROBOT AKAN KARAT
Itu jika dilihat dari aspek kegamaan, namun bukan sekadar itu sahaja.  Dapat saya kumpulan kesimpulan bahawa, keputusan 3.5 hingga 4.0  CGPA di univeristi juga tidak menjamin kemampuan dan bakat graduan. Bukanlah niat saya menghilangkan motivasi pelajar untuk mencapai keputusan mantap lagi cemerlang. Ia satu kewajiban dan tuntutan, tetapi aspek kecerlangannya perlu diluaskan lagi. Menjadi seorang mat atau minah buku di universiti adalah teknik mudah untuk menjadi graduan berminda robot, cepat pula tarikh expirednya. Bijak-bijaklah mengatur urus pengajian di universiti, jangan menjadi ulat buku berminda robot yang amat mudah outdated dari dunia realiti, akhirnya menjadi computer buruk berharga murah.
Bagi menjadi minda manusia cemerlang, pelajar cemerlang wajib membuka minda dan terlibat dalam banyak masalah sama ada persatuan, dakwah dan aktviti di universiti. Semakin banyak dan pelbagai masalah yang menyerang semasa di universiti lalu dia mampu melepasinya, KIAN TINGGILAH antibodi diri.
Peratusan untuk menjadi seorang yang kebal, berpasak kukuh, berminda komputer yang sentiasa updated dan menjadi idaman setiap institusi dan syarikat akan semakin CERAH. Lebih dari itu, andalah cahaya baru buat kebangkitan agama dan pengemudian hala tuju masyarakat. Saya bukan bercakap kosong, tetapi hanya ingin berkongsi sedikit pengalaman. Sebenarnya telah ramai yang berjaya dan ramai juga yang saya kenali. Jalan mereka hampir serupa cuma belum dan tidak dibukukan untuk tatapan ramai.
Nasihat saya buat Nik Nur Madihah dan pelajar-pelajar lain yang mencatat kejayaan SPM, sama ada anda memilih UK, Jordan, Mesir, Malaysia atau di mana negara pun, jalan kejayaan masih jauh. Hempasan ombak cabaran dalam membuat keputusan masih belum melanda. Bersedialah, dan gariskan awal-awal hala tuju kejayaan diri. Beristisyarlah (bertanya dan bermesyuarat) dengan individu yang mempunyai hikmah dan pengalaman, sesungguhnya kejayaan melalui pengalaman itu suatu realiti, sedangkan kejayaan peperiksaan bertulis hanya teori.
Akhirnya, khas buat Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, selamat datang ke dunia barumu. Awasilah ia dengan minda dan hati yang sedar. Segala jenis syaitan sedang menunggumu di kiri kanan, depan dan belakang. Kenalilah segera mana syaitan dan mana Malaikat. Semuanya sudah tercatat di dalam Al-Kitab dan Khazanah Nabi dan sahabat.
Ikhlas daripada saya.


FIRAUN LANATULLAH


Apa Sebabnya Jasad Firaun Terpelihara Sehingga Kini?
Saintis  Perancis Memeluk Islam Setelah Mengkaji Penemuan Mayat Firaun Pada pertengahan tahun 1975.Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal. Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya. Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris.
Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian. Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka. Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.
Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi. Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat. Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.
Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.
Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut? Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.
Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis. KISAH FIRAUN DI DALAM AL QURAN.
Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru. “Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!” Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.
Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.
Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya. Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu. “Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.
Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun. Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15) Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu. Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.
Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka. Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:
“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami.” (Yunus: 92)
Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.
Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.” Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran. Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.
Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya. “Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran. “Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya. Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah