KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN AL-QURAN

Cara atau teknik terbaik dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran al-Quran ialah melalui Talaqqi dan Musyafahah iaitu seperti mana yang berlaku antara malaikat Jibril dan Rasulullah S.A.W ketika wahyu yang pertama diturunkan di gua Hira’.

Talaqqi dari segi bahasa bermaksud pertemuan secara berhadapan atau bersemuka. Manakala dari segi istilah ia bermaksud pertemuan antara guru dan pelajar secara bersemuka. Guru memberi contoh bacaan dan pelajar mengikut bacaan guru.

Musyafahah dari segi bahasa ialah sebutan dari mulut ke mulut yang diambil daripada pergerakkan dua bibir. Manakala dari segi istilah ia bermaksud pelajar menerima pengajaran secara sebutan guru dengan melihat pergerakkan bibir guru dan menyebutnya.

Saya pasti anda semua mengenali Muqaddam sebagai bahan untuk pengajaran dan pembelajaran al-Quran. Kaedah ini merupakan kaedah utama pengajaran al-Quran di Malaysia dan seluruh dunia Islam amnya. Ia juga adalah kaedah tertua yang digunakan untuk mempelajari al-Quran. Selain itu, kaedah ini juga adalah yang paling banyak digunapakai oleh kebanyakan guru-guru al-Quran di Malaysia.

Ia dipercayai berasal dari Baghdad, ibu kota Iraq dan diperkenalkan di Malaysia seiring dengan kedatangan Islam ke Tanah Melayu sejak berabad yang lalu. Kaedah ini menekankan kepada pengenalan huruf Hijaiyyah, baris dan ejaan. Saya mempelajari al-Quran menggunakan kaedah ini dengan tunjuk ajar dan bimbingan dari ibu saya sendiri. Bermacam-macam kenangan sewaktu mula-mula belajar muqaddam dulu.

Pengenalan Kaedah al-Baghdadiah

Pengasas kaedah al-Baghdadiah ialah Abu Mansor Hafzul Fikri Al-Baghdadi pada tahun 376 Hijrah. Kaedah ini memperkenalkan huruf secara analisa berperingkat-peringkat dengan cara latih tubi dan pengulangan. Kaedah ini telah tersebar dan berkembang ke seluruh ceruk rantau dunia hingga ke saat ini. Ia telah menjangkau 1049 tahun dan telah menyumbangkan jasa yang amat besar kepada seluruh umat Islam. Kaedah al-Baghdadiah ini begitu popular di kalangan umat Islam seluruh dunia sejak zaman berzaman. Hanya pada tahun 1990 an sahaja kaedah Iqra’, Qiraati dan lain-lain mula dikenali umat Islam.

Panduan Kaedah al-Baghdadiah

Mengenalkan huruf-huruf Hijaiyah dari ا hingga ي secara latih tubi sehingga hafaz.
Mengeja huruf tunggal berbaris di atas dan membunyikannya.
Mengeja huruf tunggal yang bercampur baris iaitu baris satu di atas, di bawah dan di depan serta membunyikannya.
Mengeja huruf bertasydid yang besambung dengan ا dan ي serta membunyikannya.
Mengeja huruf ا ، و dan ي bertanda mati dan bersambung dengan satu huruf serta membunyikannya.
Mengeja kalimah-kalimah yang ada huruf ا ، و dan ي bertanda mati dan bersambung dengan كم serta membunyikannya.
Mengeja kalimah-kalimah yang terdapat huruf nun bertasydid dan membunyikannya.
Mengeja dan membunyikan kalimah-kalimah yang mempunyai baris dan tanda bacaan yang berlainan yang terdiri daripada dua suku kata, tiga suku kata atau empat suku kata atau lebih. Ada bacaan panjang, ada bacaan pendek dan ada bacaan dengung dan tidak dengung.
Membaca petikan ayat-ayat al-Quran tanpa mengeja lagi.
Setelah pelajar menguasai bacaan petikan-petikan ayat, maka mereka bolehlah membaca ayat-ayat al-Quran yang lain dari surah al-Fatihah, an-Nas hingga an-Naba’ mengikut turutan dalam Muqaddam.
Kebanyakan guru-guru yang menggunakan kaedah ini biasanya hanya menyuruh pelajar membaca ayat-ayat al-Quran tanpa mengeja dari surah al-Fatihah sehingga surah ad-Dhuha sahaja. Apabila selesai membaca sehingga surah ad-Dhuha dengan lancar dan tiada kesalahan dilakukan, pelajar tersebut akan dinaiktarafkan (upgrade) dan diminta membaca dari awal surah al-Baqarah Juzu’ 1 atau istilah biasanya “Naik Quran” sehingga khatam al-Quran.

Seiring dengan peredaran zaman dan percambahan idea dan pemikiran manusia, kini muncul pelbagai kaedah sebagai penambahbaikan pada kaedah Muqaddam atau al-Baghdadiah ini. Tahukah anda terdapat beberapa lagi kaedah untuk mempelajari al-Quran pada masa kini? Berikut adalah sebahagian kaedah pengajaran dan pembelajaran al-Quran selain Muqaddam.

Kaedah Qiraati

Kaedah Qiraati atau bacaanku disusun pada tahun 1963 oleh seorang guru al-Quran Hj. Dachlan Salaim Zarkasyi dari Semarang, Indonesia. Ia diterbitkan paa 1 Julai 1996. Kaedah ini mengandungi dua bahagian buku iaitu Qiraati untuk kanak-kanak dan Qiraati untuk dewasa. Qiraati untuk kanak-kanak mengandungi lima buah buku dan sebuah buku Gharib tentang kaedah Rasm Uthmani. Qiraati untuk dewasa mengandungi tiga buah buku.

Pada mulanya kaedah ini terdiri dari sepuluh jilid buku untuk kanak-kanak berusia enam tahun ke atas. Kemudian dikemaskinikan menjadi lapan jilid, enam jilid dan akhirnya lima jilid. Kaedah ini bermula dengan memperkenalkan huruf Hijaiyyah hinggalah ke buku jilid lima untuk pelajaran yang lebih susah seperti bacaan huruf Qalqalah dan sebagainya. Apabila selesai lima buah buku tersebut pelajar akan dilatih membaca Juzu’ Amma dan seterusnya al-Quran mushaf Rasm Uthmani.

Kaedah Iqra’

Kaedah Iqra’ atau cara cepat belajar al-Quran Rasm Uthmani juga adalah berasal dari Indonesia iaitu mula diperkenalkan pada tahun 1984 di sebuah Taman Kanak-Kanak Al-Quran di Kota Gedo, Jogjakarta. Pengasas kaedah ini ialah Haji As’ad Humam yang telah menyusun enam jilid buku Iqra’. Kaedah ini pada umumnya menggunakan kaedah lihat dan baca terus tanpa mengeja terlebih dahulu.

Di peringkat permulaan pelajar belajar membaca al-Quran, kaedah Iqra’ tidak mengenalkan huruf dan baris-baris bacaan seperti baris satu dan baris dua samada di atas, di bawah atau di depan. Begitu juga tidak dikenalkan tanda-tanda bacaan seperti tanda mati atau tasydid. Buku-buku Iqra’ sepertimana juga buku Qiraati disusun untuk memudahkan pengajaran dan pembelajaran al-Quran dari peringkat pengenalan huruf Hijaiyyah hinggalah menguasai tilawah al-Quran dengan baik dan mengikut hukum tajwid.

Kaedah ini mengutamakan bimbingan dan latih tubi. Oleh kerana itulah setiap orang guru hanya akan membimbing lima atau enam orang murid sahaja bagi satu sesi pengajaran. Kaedah Iqra’ telah diterima dan digunakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1994 bagi pengajaran dan pembelajaran al-Quran di sekolah.

Ciri-Ciri dan Kelebihan Kaedah Iqra’

Bacaan Terus (Tanpa Analisa dan Dieja)
Penggunaan Teks Tertentu
Teknik Pengajaran Cara Belajar Murid Aktif (CBMA)
Talaqqi Musyafahah
Tahap Berasaskan Pencapaian Individu
Tenaga Pembimbing/Pembantu
Praktis
Sistematik
Komunikatif
Kelenturan dan Mudah

Tiada ulasan :